Wednesday, August 11, 2010

Teori Keperluan Maslow

Secara umumnya manusia perlu memenuhi keperluannya untuk terus hidup dengan selesa. Menurut Maslow (1954), beliau telah menyatakan bahawa keperluan manusia adalah secara berperingkat-peringkat iaitu mengikut heiraki keperluan Maslow. Keperluan yang paling tinggi akan tercapai sekiranya keperluan di peringkat bawah dipenuhi terlebih dahulu. Peringkat keperluan manusia mengikut teori Maslow ini dapat dilihat berdasarkan rajah di bawah:



Keperluan Fisiologi
Mengikut teori Maslow, peringkat ini merupakan keperluan yang paling asas. Keperluan ini adalah sangat penting dalam kehidupan manusia. Keperluan asas ini merangkumi keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Contohnya, dalam konteks pendidikan, pelajar-pelajar yang mendapat kurang makanan tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pelajaran mereka. Ini kerana kesan daripada kekurangan keperluan ini akan mengakibatkan kesihatan pelajar terganggu atau terjejas. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, para guru sepatutnya memberikan perhatian dan mengambil berat kepada tanda-tanda yang menunjukkan apa-apa kekurangan dari segi fizikal pelajar itu. Sekiranya keperluan ini tidak dipenuhi pelajar akan kurang bermotivasi atau berminat terhadap pelajaran.

Keperluan Keselamatan
Peringkat seterusnya adalah keperluan dari aspek keselamatan. Keperluan keselamatan juga penting dalam kehidupan manusia bagi mendapatkan kehidupan yang selamat, aman dan selesa. contohnya pelajar-pelajar memerlukan keselamatan daripada seorang guru iaitu dalam bentuk disiplin. Oleh itu dari peringkat awal lagi, kanak-kanak perlu diajar akan disiplin ini. Di dalam kelas guru pula berperanan besar. Keselamatan di dalam kelas dapat dijamin jikalau seseorang guru itu bertindak dengan konsisten. Ini kerana pelajar-pelajar itu akan dapat belajar dengan lebih berkesan jika mereka dapat mengetahui perasaan atau ‘mood’’ guru itu. Di samping itu apa yang penting juga guru seharusnya ada sikap toleransi terhadap para pelajarnya. Ini kerana pelajar-pelajar akan berasa selamat dan membolehkan mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap proses pembelajaran.

Keperluan Kasih Sayang
Berdasarkan Teori Maslow, turut diperlukan keperluan ini untuk mendapatkan hubungan yang mesra dan kasih-sayang. Misalnya, kebiasaan yang berlaku di dalam kelas, pelajar kadang-kadang akan berasa terganggu apabila terjadi perkelahian atau perbalahan antara satu sama lain. Keadaan ini akan menjadi lebih kritikal dan tegang jikalau mereka dimarahi pula oleh guru dan dikenakan denda. Situasi ini akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pelajar terbabit dan merasakan diri mereka seolah-olah tidak disukai, dihargai, atau tidak dipedulikan oleh guru mahupun kawan-kawan. Ekoran daripada itu keinginan, minat, juga kehendak atau motivasi mereka untuk belajar akan pudar dan lenyap. Guru perlulah memberi tunjuk-ajar kepada mereka dengan menasihati atau mengadakan sesi kaunseling untuk mengeratkan hubungan yang baik sesama mereka. Secara tidak langsung, proses pengajaran pembelajaran berjalan dengan baik, harmoni, lancar, dan berkesan kerana masing-masing individu telah dapat memenuhi keperluan kehendaknya.

keperluan Penghargaan Kendiri
Tahap seterusnya adalah kehendak untuk penghargaan kendiri. Pada masa yang sama, kita juga perlukan kekuatan, kebolehan, kepakaran serta kebebasan. Seterusnya manusia ingin dihormati, disanjungi dan kehendak status dalam hidup. Misalnya, menjadi tugas seseorang guru memberikan tugasan, yang sesuai untuk diterokai serta yang mampu dan boleh dilaksanakan oleh pelajar. Pelajar akan merasakan diri mereka penting apabila sesuatu tugasan yang diberi dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Ini dapat memupuk diri pelajar untuk lebih berkeyakinan seterusnya keinginan dan minat mereka untuk terus belajar dan berjaya makin meluap-luap. Seseorang guru juga perlu berusaha dan memastikan jangan ada pelajarnya yang gagal atau tercicir kerana mereka ini akan merasakan penghargaan dirinya amat rendah.


Keperluan Kesempurnaan Kendiri
Akhir sekali usaha manusia yang teragung adalah untuk mencapai kesempurnaan kendiri. Semua tahap kehendak sebelum ini perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum seseorang itu inginkan kesempurnaan kendiri. Misalnya, dalam membantu para pelajar berjaya mencapai sehingga peringkat ini, guru perlu memainkan peranannya. Guru harus membantu menyuburkan minat, bakat, juga kebolehan pelajar dengan menjadi pembimbing atau fasilitator kepada mereka. Dengan ini pelajar dan guru berjalan seiringan dalam memenuhi satu matlamat. Kesan daripada itu proses pengajaran serta pembelajaran dapat ditingkatkan seterusnya mendatangkan manfaat kepada semua pihak.

Rujukan:
Rumaya J., & Rozumah B., (2004). Pengantar Pembangunan Manusia: Perspektif Ekologi. Penerbit Universiti Putra malaysia.




No comments:

Post a Comment