Tuesday, August 31, 2010

Isu Pembuangan Bayi..

Hampir setiap hari kita sering mendengar kes pembuangan bayi yang semakin meningkat. Kes pembuangan bayi merupakan salah satu masalah sosial yang semakin serius di negara kita. Apabila kita mendengar tentang kejadian bayi dibuang, pelbagai perasaan sama ada sedih, pilu, ngeri, tidak berperikemanusiaan dan banyak lagi perkataan yang diungkapkan kepada manusia yang tidak bertanggungjawab tersebut. Kes pembuangan bayi dan kelahiran anak tidak sah taraf adalah implikasi daripada masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita hari ini terutamanya dalam kalangan generasi muda.


Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita yang hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah. Sepanjang tempoh dua tahun sehingga 2006. JKM menerima maklumat sejumlah 145 bayi luar nikah dibuang dan dijumpai. Menurut statistik kes pembuangan bayi di Malaysia yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, pada tahun 2000, sejumlah 65 kes pembuangan bayi telah dilaporkan di seluruh Malaysia. Manakala pada tahun 2006, kes pembuangan bayi bertambah 18 kes menjadi keseluruhan kes pada tahun tersebut berjumlah 83 kes. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, sejumlah 257,411 sijil pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf bermula dari tahun 2000 sehingga Julai 2008. Statistik ini telah didedahkan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Yang Berhormat Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa di Dewan Rakyat pada 20 Oktober 2008.

Seperti yang kita sedia maklum, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi akan terjadi gejala sosial ini. Faktor keluarga, rakan-rakan, persekitaran, media massa dan media cetak merupakan faktor yang menyumbang ke arah berlakunya gejala ini. Tidak kurang ada segelintir masyarakat yang menyalahkan keluarga sebagai punca utama kepada permasalahan tersebut. Unit Sosiobudaya, Biro Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Islam Sarawak merasakan bahawa adalah menjadi satu keperluan untuk menyediakan modul dan menganjurkan program yang dapat memberikan kesedaran kepada generasi muda tentang pentingnya menjaga maruah dan keselamatan diri sendiri agar tidak terjebak dalam masalah sosial terutamanya yang melibatkan kes kelahiran anak tidak sah taraf dan pembuangan bayi.

Jika kita lihat kes-kes yang melibatkan pembuangan bayi ini berlaku di tempat-tempat seperti di dalam tandas, tempat pelupusan sampah, tepi sungai, dalam longkang atau di rumah ibadat. Oleh itu, ianya telah memberi gambaran kepada kita sejauh manakah tahap simpati manusia yang tidak bertanggungjawab tersebut. Kebanyakkan pelaku yang membuang bayinya adalah kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan kelahiran dan takut dimarahi oleh keluarga. Masalah pembuangan bayi ini berlaku kerana melibatkan beberapa faktor yang perlu diberi perhatian. Kita tidak boleh menyalahkan atau membuat tuduhan kepada satu-satu pihak kerana menyebabkan kehamilan luar nikah yang semakin bertambah, sebaliknya melihat punca tersebut daripada pelbagai aspek.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Khaidzir Ismail melalui “Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi terhadap kalangan remaja perempuan berisiko tinggi atau bermasalah”, memberi pendedahan bahawa punca berlakunya masalah ini adalah dari keluarga yang bermasalah. Pengaruh rumah tangga memberi kesan ke atas pembentukan personaliti anak-anak khususnya apabila mereka meningkat remaja. Konflik dalam keluarga menggalakan remaja untuk mencari tempat dan rakan yang boleh membantu mengatasi keadaan hidup dan pada masa yang sama memenuhi keperluan kewangan, hiburan dan perkembangan emosi mereka. Tanpa pengawasan, anak-anak bersikap kurang ajar dan merancang kehidupan sendiri mengikut kehendak hati.

Masalah sebegini akan terus menerus berlaku sekiranya masalah ini tidak terus dibendung dan diatasi. Antara punca terjadinya masalah pembuangan bayi ini adalah pergaulan bebas, pengaruh dadah, pengaruh rakan dan juga bahan-bahan lucah yang senang untuk didapati dipasaran sekarang. Salah satu cara mengatasi masalah pembuangan bayi ini daripada terus berlaku adalah dari segi pendidikan yang menekankan kesucian hubungan lelaki dan perempuan perlu didedahkan sejak kecil di samping pencegahan daripada institusi agama dan budaya masyarakat. Penguatkuasaan sepatutnya diguna pakai untuk menjadi pengajaran kepada ahli masyarakat. Oleh hal yang demikian, terdapat beberapa pihak yang bertanggungjawab bagi mengatasi masalah pembuangan bayi ini antaranya ialah melalui peranan pihak berkuasa dan badan NGO, peranan ibu bapa serta peranan pihak media massa.

Kesimpulannya, setiap warga masyarakat tanpa mengira kaum haruslah bersatu padu menggembleng tenaga mencegah dan membanteras supaya penyakit sosial ini tidak menular dengan lebih serius. Pihak atasan seperti badan-badan kerajaan dan kerajan juga perlu lebih peka dan menganjurkan pelbagai ceramah atau motivasi kepada remaja supaya mereka mendapat lebih informasi tentang gejala ini dan sedar akan kesan daripada perbuatan tidak bermoral itu. Dengan usaha-usaha yang dilakukan secara bersama dan menyeluruh ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi satu penyakit berbahaya di negara Malaysia ini. Tiada siapa patut menuding jari pada pihak yang lain, kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat.
Anak merupakan anugerah Allah S.W.T yang tidak ternilai harganya dan menjadi satu amanah untuk menjaganya. Ada pasangan yang berkahwin bertahun-tahun yang teringinkan cahaya mata tapi tak dikurniakan lagi, tapi bagi pasangan-pasangan ini mengambil jalan mudah membuang bayi yang dilahirkan. Ingatlah kita bersama bahawa zina dan tindakan membuang bayi adalah jenayah yang amat besar dosanya serta berat hukumannya disisi Islam. Firman Allah S.W.T didalam surah an-nisa’ ayat 93:
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar”.


Rujukan:

http://drshafie.blogspot.com/2010/07/sekolah-pelajar-mengandung.html
http://www.scribd.com/doc/18962653/HashimBedu2008KeruntuhanAkhlakGejalaSosialKeluarga
http://www.scribd.com/doc/19744558/pembuangan-bayi
Utusan Malaysia (19-1-06) kecelaruan identiti remaja banyak sebabnya oleh Dr Sidek Baba.

No comments:

Post a Comment