Monday, August 2, 2010

Apakah yang Dimaksudkan dengan Kefungsian Sosial?


Secara umumnya, kefungsian sosial adalah sangat penting dalam setiap aspek kehidupan manusia. Jika tidak terdapat kefungsian sosial dalam kehidupan seharian manusia, kehidupan akan menjadi tidak teratur dan mungkin akan menyebabkan bencana. Selain itu, kefungsian sosial melihat kepada bagaimana sesuatu proses sosialisasi itu member impak kepada persekitarannya. Terdapat beberapa komponen penting yang perlu ada bagi menilai keberkesanan kefungsian sosial itu iaitu termasuklah status sosial, rol sosial dan institusi sosial.

Kehidupan bersosial melahirkan masyarakat yang stabil, mantap, mempunyai tingkah laku tertentu dan boleh dijangka. Kefungsian sosial juga dilihat dalam sudut yang pelbagai. Kebiasaannya, seorang individu itu mempunyai peranan kefungsian sosial yang pelbagai dalam satu-satu masa. Misalnya, si A adalah seorang ibu tunggal yang mempunyai 4 orang anak, beliau juga mempunyai rakan-rakan yang berdekatan dengan kawasan perumahan, beliau telah bekerja di salah sebuah restoran sebagai tukang masak dan mempunyai ibu bapa yang sudah tua di kampung.

Daripada contoh tersebut sudah menunjukkan bahawa kefungsian sosial telah mendorong si A untuk meneruskan kehidupan yang memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga kepada keempat-empat orang anaknya. Dengan adanya rakan-rakan sekeliling yang sentiasa memberi semangat menyebabkan si A dapat meluahkan segala masalahnya kepada rakan-rakan dan secara tidak langsung masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan sabar. Selain itu, si A yang merupakan ibu tunggal telah melakukan pekerjaan sebagai tukang masak di sebuah restoran bagi mendapatkan sumber kewangan untuk terus hidup dan membesarkan anak-anaknya serta menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak terhadap kedua ibu bapanya yang sudah tua.

Individu itu sendiri seharusnya mempunyai ciri kefungsian yang teratur dan berstruktur. Jika si A bijak membahagikan masa, menggunakan sumber terhad yang ada memahirkan diri dengan kemahiran komunikasi yang lebih berkesan, maka ciri kefungsian sosial si A Nampak teratur dan menarik minat untuk didekati.


Rujukan:

Samir Muhazzab Amin & Winny Abdul, 2009.Pengantar Kerja Sosial. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions Sdn Bhd.


No comments:

Post a Comment